Saturday, 11 February 2012

Latar Belakang Program

SEJARAH PENUBUHAN

Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran SK Kedai Buloh telah ditubuhkan pada Januari 2009 dengan 4 orang murid dan seorang guru. Pada awal penubuhan, kesemua murid ini yang berusia 9-12 tahun didaftarkan semula ke sekolah setelah tercicir beberapa tahun ekoran masalah pembelajaran yang dihadapi lantaran menyukarkan mereka mengikuti pelajaran di aliran perdana.

PPKIBP KINI

Hasil usaha keras semua pihak, kini (2012) terdapat 23 0rang murid telah berjaya meneruskan alam persekolahan dan menunjukkan prestasi yang membanggakan sebagai murid istimewa yang berhak mendapat pendidikan seperti juga murid normal. Untuk mendidik insan istimewa ini, sokongan dan dokongan semua pihak adalah penting. Pihak sekolah sentiasa prihatin terhadap keperluan murid istimewa agar mereka dapat meningkatkan potensi diri menjadi insan yang berguna suatu masa nanti.

SEKILAS PANDANG

SK Kedai Buloh adalah sebuah sekolah yang terletak di pekan kecil Kedai Buloh. Murid PPKIBP adalah anak-anak penduduk di 5 buah kampung sekitar sekolah. Taraf ekonomi keluarga murid juga adalah sederhana dan rendah. Oleh kerana itu, 95% murid adalah penerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin. Kesemua murid PPKIBP juga adalah penerima Rancangan Makan Tambahan di sekolah. Murid-murid ini tergolong dalam kategori miskin dan miskin tegar dengan pendapatan perkapita RM65-RM85. Mereka memerlukan sokongan dan perhatian yang lebih serius daripada semua pihak agar semua murid istimewa ini tidak terpinggir dari arus kemajuan negara. Latarbelakang keluarga yang daif juga membataskan murid istimewa ini dari menerima pelbagai pengalaman hidup yang membantu perkembangan mereka. Ada di kalangan murid yang tidak pernah ke mana-mana selain ke sekolah. Malah ada yang tak pernah sampai ke pantai atau bermain di taman permainan sehinggalah mereka belajar di PPKIBP. Atas kesedaran inilah, sekolah telah merancang pelbagai aktiviti sepanjang tahun termasuk lawatan sambil belajar dengan harapan, murid istimewa ini tidak ketinggalan dan mampu menimba seberapa banyak pengalaman sebelum melangkah ke sekolah menengah pula. Diharap murid PPKIBP tidak tercicir dari kecemerlangan pendidikan dan tidak terpinggir dari kemakmuran negara. Segala usaha semua pihak diharap dapat membentuk murid istimewa ini menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat dan mampu menjadi aset kepada Negara Malaysia yang Gemilang

No comments:

Post a Comment